Assalamualaikum,
Pembaca yang budiman.
Hari ini saya ingin membicarakan tentang kejayaan. Di dalam semua perkara manusia pasti ingin meraih kejayaan. Meraih kejayaan merupakan fitrah diri. Semua manusia suka dan ingin mendapatkannya.
Sebagai umat Islam kita saban waktu diseru untuk berjaya. Waktu subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak, seruan azan pasti berkumandang untuk mengingatkan kita untuk mengerjakan solat dan menuju kejayaan.
Hayya ala solah ...
Hayya ala falah ...
Seruan azan, menyegarkan kembali agar setiap diri umat Islam memang disuruh untuk berjaya. Manusia yang bersolat, insya Allah terdorong untuk meraih bukan sahaja kejayaan di dunia malahan di akhirat sana.
Mengingatkan kembali sejarah seruan azan, pastinya kita teringat kepada Bilal bin Rabbah. Beliau adalah antara para sahabat Rasulullah s.a.w yang berkulit hitam tetapi mempunyai hati yang suci bersih.
Laungan azannya bukan sahaja didengari oleh manusia-manusia di bumi malahan para malaikat turut memberi perhatian bila mendengar seruan azan daripada Bilal bin Rabbah.
Begitulah ukuran kejayaan, ia bukan hanya dinilai semata-mata di dunia ini malahan kejayaan di akhirat sana nanti. Manusia yang mengutamakan kejayaan di akhirat pasti kejayaan di dunia dapat diraihnya, sebab dunia dan akhirat sangat berkait rapat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan