Jumaat, Ogos 03, 2012

TADARUS AL QURAN.

Di bulan Ramadan ini, ramai yang bertadarus Al-Quran. Ada anak-anak  di masjid berlumba-lumba ingin memasuki kumpulan tadarus sebab di akhirnya nanti mereka tahu akan mendapat imbuhan (selalunya mendapat sampul yang berisi wang). Tetapi penekanan perlu dilakukan, kita beramal bukan kerana wang tetapi kerana Allah. Lebih baik anak-anak ini bertadarus al-Quran dari berlari-lari tidak tentu hala atau hanya datang ke masjid untuk bermain-main.  
Bila dikatakan tadarus al-Quran kita mengaji mestilah ada yang menegur jika tidak membaca secara tartil. Ada yang mendengar dan menyemak apa yang kita baca, jika ada yang menegur bacaan kita, handaklah kita menerimanya. Di situlah nanti proses belajar dan peningkatan bacaan akan berlaku. Tanggapan untuk cepat khatam tanpa peduli untuk membaca dengan tartil mestilah dibuang jauh-jauh. Tidak khatam mengaji di bulan Ramadan tetapi betul panjang pendek, dengung, berhenti pada tempat yang sepatutnya berhenti, makhraj huruf dan sebagainya adalah lebih baik daripada khatam tetapi bacaan tunggang langgang. Seeloknya bacalah dengan tenang dan tartil mengikut sebagaimana Rasulullah s.a.w membaca al-Quran sehingga kumpulan tadarus kita dapat khatam di bulan yang mulia ini. 
Paling elok kita membaca dengan faham akan makna-makna ayat. Misalnya pada tempat yang membicara tentang azab neraka, kita berdoa agar dijauhkan oleh siksaan api neraka. Bila diceritakan indahnya syurga, kita memohon agar kita ditempatkan di syurga kelak. Bab cerita para nabi, kita terpanggil untuk mencontohi mereka yang soleh lagi bertaqwa. Bila bab orang-orang yang mendapat azab Tuhan, diri terasa gerun untuk tidak mengikut keangkuhan mereka. Setiap ayat al-Quran yang dibaca itu pasti memberikan pengajaran. Barulah ia dapat mendekatkan diri kita kepada Allah dan menjadikan kita seorang hamba yang taat. Akhlak Rasululllah s.a.w adalah menepati akhlak al-Quran itu sendiri.   
Menjelang malam 15 Ramadan 1433H, 
Sungai Penchala. 



Tiada ulasan: