Isnin, Julai 16, 2012

CATATAN UNTUK ANAKKU.

Buat anakku,  
Alhamdulillah, selawat dan salam ditujukan kepada Rasulullah s.a.w, para sahabat dan juga keluarga baginda. Terlebih dahulu syukur yang berpanjangan kerana diberi kesempatan oleh Allah untuk menukilkan sesuatu buatmu. Idea ini datang secara spontan dan ummi mengambilnya untuk dijadikan sesuatu yang bermanfaat untuk semua. 

Anakku sayang, 
Izinkan ummi menganggap dirimu sebagai anak, sebab umurmu  sebaya dengan anak ummi. Alhamdulillah ummi mengucapkan tahniah diatas keputusan peperiksaan tempoh hari dan juga mendapat kursus pengajian yang menjadi impianmu. Teruskan mengejar cita-cita dan buktikan dirimu akan berjaya meraih kegemilangan dalam apa jua bidang pengajian yang diceburi. Allah Maha Mengetahui dan Alllah Maha Adil dalam memberikan kemahiran atau bakat kepada seseorang. Terpulanglah kepada kita untuk mencungkil potensi diri. Ummi percaya, anakku pasti dapat membuktikan sesuatu yang mampu menjadi kebanggaan dan kebahagiaan buat ibu bapamu.             

Anakku yang dikasihi , 
Menghadapi hari-hari yang mendatang ianya penuh ujian. Kadang kala menggetarkan jiwa, mengugat emosi dan apa sahaja yang kita alami. Hidup tidak hanya yang indah-indah sahaja, yang pahit dan air mata itulah menjadi penguat jiwa dan keazaman yang jitu dan padu. Kita tidak akan tewas dengan badai yang melanda, tetapi gagah untuk meneruskan perjuangan kehidupan. Jiwa lebih segar dan kuat. Biarlah kita hadapi segalanya dengan tabah dan sabar. Kita perlu bersungguh-sungguh dalam melahirkan usaha dan ikhtiar agar benih yang disemai akan membuahkan kasih sayang yang subur  berpanjangan. Suatu masa nanti kita akan sama-sama merasai akan kemanisan hasil berhempas pulas dalam setiap kesusahan yang kita lalui. Ingatlah anakku, sesudah kesempitan ada kelapangan. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Itulah yang perlu kita ingat dan ingat selalu. Kita akan menjadi lebih pasti dan optimis.  

Anakku yang dikasihi, 
Senyum dan ceria selalu.
Marilah kita memohon apa yang kita ingini kepada Allah. Hanya kepada Allah jualah kita menghadapkan wajah, bertawakal dan berharap. "Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)." 
Akhirnya izinkan ummi mengundur diri, mohon maaf andainya ada kata-kata yang menyinggung atau tersentuh perasaan. Ummi akui yang diri ummi juga tidak terlepas daripada salah dan silap, mohon ribuan kemaafan darimu.
Salam kasih sayang dan jumpa lagi, 
Ummi.  
Zuhriah Mohamad Juoi. 

Tiada ulasan: