Assalamualaikum,
Terlebih dahulu didoakan agar Fasha dan suami dalam keadaan yang sihat, bahagia dan ceria hendaknya. Pastinya sekarang kehidupan lebih membahagiakan apa lagi berada di samping orang tersayang setelah melalui ujian-ujian getir kehidupan.
Saya terpanggil untuk menulis sesuatu yang istimewa untuk Fasha, setidak-tidaknya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Fasha kerana memilih buku Terima Kasih Tuhan Atas Cinta Ini sebagai hadiah hantaran di majlis pernikahan tempoh hari.
Sejujurnya saya sebagai penulis agak terkejut juga bila diberitahu oleh rakan-rakan di muka buku, mengatakan buku ini dijadikan hantaran oleh Fasha. Antara percaya dan tidak sahaja. Namun bila melihat foto-foto yang dipaparkan pada majlis pernikahan itu, barulah saya percaya perkhabaran tersebut.
Saya hairan antara banyak buku-buku di luar sana, Fasha telah memilih buku ini. Pasti ada sesuatu yang menarik hati dan istimewa pada pandangan Fasha sendiri. Alhamdulillah pada Allah jua saya mengucapkan kesyukuran sebab Allah Maha Mengetahui Dan Maha Kuasa di atas pilihan hati para hamba-Nya.
Sesungguhnya keadaan ini sedang berjalan dan masih ramai lagi yang tercari-cari untuk mendapatkan buku ini.
Fasha dan saya mungkin tidak pernah mengenali antara satu sama lain atau apa lagi untuk berjumpa, namun saya mengambil kesempatan di blog ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Fasha secara terbuka. Fasha secara tidak langsung telah membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk terus mencari-cari apakah keistimewaan yang terdapat di dalam buku ini.
Saya mendoakan moga rumah tangga Fasha dan suami berada di dalam kebahagiaan hingga ke akhir hayat.
Sabar dan tenanglah dalam menempoh cuaca kehidupan berumah tangga. Kita mengutip segala pengalaman perjalanan kehidupan ini untuk lebih mendekatkan diri dengan Tuhan. Lantas setelah puas berjalan, akhirnya kita akan mengucapkan TERIMA KASIH TUHAN ATAS CINTA INI.
Sekian buat kali ini, mohon ribuan kemaafan andai ada yang tersalah atau tersilap daripada saya.
Terima kasih Fasha!
Daripada,
Penulis Buku Terima Kasih Tuhan Atas Cinta Ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan