Hari ini anakanda sangat gembira kerana dapat pulang ke kampung menemui ayahanda dan bonda. Anakanda pulang bersama anak-anak dan suami. Selalunya anakanda pulang hanya sekejap-kejap sahaja. Kali ini agak lama juga berada di kampung memandangkan semua anak-anak ada untuk bersama dan tidak pula terkejar-kejar masa. Rasa bersyukur masih diizinkan Allah memandang wajah ayahanda dan bonda.
Ayahanda,
Rasa bagaikan menitis air mata, melihat keuzuran ayahanda. Namun anakanda masih bersyukur dapat memeluk, mencium dan memimpin tangan ayahanda. Pulangnya anakanda kali ini, memang memberi perhatian buat ayahanda dan bonda. Kesempatan ini anakanda lakukan dengan membawa ayahanda dan bonda berjalan-jalan sekadar mengambil angin petang di kampung kita. Semasa anakanda memandu, terasa sebak juga bila ayahanda berkata begini,
"Ayah dah tua. Tidak tahu bila masanya lagi. Nanti bila ayah sudah berada di kubur, tak dapat lagi nak jalan-jalan begini. Nanti awak hanya berjalan dengan suami, anak-anak atau maknya sahaja."
Adui...sedihnya perasaan bila ayahanda berkata begitu...
Coretan ini tidak dapat saya teruskan kerana ada air mata yang cuba ditahan-tahan agar tidak terus menitis!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan