Tergesa-gesa pergi ke masjid, dapat juga menunaikan solat maghrib berjemaah. Saya dan suami agak kelam kabut sebab dah terlewat. Hari ini ada ceramah sempena Maulidur Rasul. Penceramah jemputan ialah Ustaz Hj Hajarudin Bin Hj Baharudin.
Antara lain isi ceramah; Tanda orang yang mencintai Rasulullah s.a.w ialah;
1. Menziarahi makam Rasulullah di Masjid Nabawi.
2. Selalu berselawat kepada baginda.
3. Meneruskan perjuangan baginda dengan mengikut kemampuan diri.
4. Mengikut sunnah baginda s.a.w.
Bermakna sekali kehadiran saya ke masjid. Menyegarkan minda dengan kuliah agama dan menyegarkan juga kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. Pengalaman menziarahi makam Rasulullah s.a.w sudah terbayang semula. Ketika menjejak kaki ke Masjid Nabawi untuk ke makam Rasulullah s.a.w hati sudah berdebar-debar, terasa Rasulullah s.a.w dekat dan dekat sekali. Alhamdulillah....segalanya ketentuan dari Allah SWT.
Di samping ke masjid, dapat pula bertemu dengan jemaah masjid. Seronoknya bila dapat berbual-bual dan makan bersama. Terasa indah menikmati suasana berjemaah dan bersilaturahim. Ketika bersalaman untuk pulang, terdengar pula berita kematian. Dulu beliau pernah bertugas sebagai ketua dapur di masjid. Saya suka memanggil namanya Pak Haji Usup atau Haji Sai. Orangnya memang baik dan ramah. Saya suka berurusan dengan beliau bila menjenguk ke dapur masjid.
Saya dan suami bergegas menuju ke rumah beliau untuk menziarahi jenazahnya. Orang baik begitulah, ramai yang sudah datang berziarah dengan membaca yasin dan berdoa untuk jenazah. Walaupun sudah malam, orang tetap ramai yang datang berkunjung. Silih berganti membaca ayat-ayat al-Quran. Saya turut memeluk dan mengucap takziah kepada isteri beliau.
Ya...satu iktibar buat diri saya. Seorang yang suka memasak di dapur masjid...kematiannya sangat meriah dengan kedatangan orang yang silih berganti...bacaan al-Quran sentiasa kedengaran. Kematian dalam kebaikan...insya Allah.
Semoga Allah mengampunkan dosa Haji Usup dan juga dosa-dosa kita. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Al Fatihah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan