Menyambut Aidil Adha pada tahun ini, hanya berbaring sahaja yang mampu dilakukan. Badan tiba-tiba sahaja rasa lenguh. Demam, pening dan batuk. Sejak kebelakangan ini, demam selalu benar menyerang badan. Ini menandakan pertahanan badan lemah. Peringatan dari Allah jua untuk lebih peka dalam menjaga kesihatan.
Anak-anak menegur; "Penghapusan dosa untuk Ummi dan Allah sayangkan Ummi." Saya mendengar sahaja anak-anak yang memujuk untuk bersabar dan tabah. Habib dan Fathinah sentiasa berada di sisi untuk mengurut-urut badan dan membantu mana yang patut. Fathinah pula sentiasa mengelap badan dengan tuala basah, agar suhu badan tidak naik.
Dalam diam saya merasa sangat bersyukur, di kala demam menyerang, anak-anak ada di sisi. Mereka tidak mengira untuk menghulur bantuan dan melakukan apa yang patut. Pada pagi Hari Raya Aidil Adha itu, ketika takbir mula bergema dan khutbah sedang dibaca, saya terbaring melayan diri yang dirasakan cukup tidak bermaya.
Dalam kelemahan ada kekuatan bila terdengar takbir dilaungkan. Rindu untuk melihat Kaabah. Rindu untuk menjejak kaki di Masjid Nabawi. Rindu untuk berdoa di Raudah. Rindu untuk membaca al-Quran di Masjidil Haram. Rindu untuk tawaf di Kaabah. Rindu untuk melakukan sai antara Safa dan Marwah. Rindu untuk melihat suasana orang-orang yang sentiasa beribadah dan berdoa mengharapkan pertolongan Allah.
Di sinilah hikmah demam.Walaupun hanya terbaring tetapi gambaran-gambaran Madinah dan Makkah sentiasa segar. Apa lagi untuk mencontohi perjuangan para nabi dan mereka yang banyak berjasa dalam berkorban untuk menegakkan Islam di muka bumi ini.
"Ya Allah, tabahkan diri ini menghadapi ujian ini. Moga ujian ini menyemarakkan jiwa juangku untuk menyumbangkan sesuatu demi kebaikan umat. Moga aku juga dapat mencontohi para syuhada' yang telah menemui Allah dengan mengorbankan jiwa raga semata-mata untuk melihat Islam tersebar indah dan mewangi di hati-hati mereka yang mahukannya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan