Assalamualaikum,
Segala pujian untuk Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan keluarga baginda.
Kesempatan menemui para pembaca buku TERIMA KASIH TUHAN ATAS CINTA INI, sangat saya hargai. Alhamdulillah, sambutan yang diberikan sangat menggalakkan. Buku itu saya tulis dengan harapan untuk memberi satu motivasi diri kepada para pembaca untuk menyelami pengalaman seorang wanita dalam mengemudi kehidupan ini.
Dalam mengharungi arus kehidupan, tidak semuanya akan mengalami yang indah-indah sahaja. Adakalanya kita akan diuji oleh ALLAH dengan sesuatu yang tidak kita sukai. Bagaimana keadaan kita waktu itu?
Mengelabah? Resah dan gelisah? Kelam kabut? Huru-hara? Dan entah apa-apa lagi keadaannya. Dalam buku ini juga, saya cuba membawa pembaca untuk kita kembali kepada fitrah. Iaitu mengingati Allah. Agar jiwa kita menjadi tenang. Bila kita mengingati ALLAh fikiran kita akan menjadi lebih teratur dan tersusun. Emosi dapat dikawal. Jiwa bukan sahaja menjadi tenang, tetapi menjadi kuat untuk menghadapi cabaran kehidupan. Saya berharap buku itu dapat mendidik diri sendiri dan memberi manfaat kepada pembaca semua.
Ramai yang memberi pandangan, selama ini mereka banyak membaca tulisan Ustaz Pahrol dan Ustaz Hasrizal, namun buku saya ini ditulis dari kaca mata dan mata hati seorang wanita. Pasti ada kelainan dan keistimewaanya. Saya akan menunggu untuk mendengar pandangan-pandangan yang seterusnya. Insya Allah.
Menurut pandangan Kak Sri Diah, beliau menyarankan agar saya terus menulis mengenai buku-buku motivasi untuk wanita. Saya akan cuba ke arah itu. Dalam minda sudah terlakar dua buah skrip buku yang hendak disiapkan. Saya sedang berusaha dan bersungguh-sungguh untuk mengetengahkan sesuatu yang bermanfaat untuk tatapan para pembaca yang budiman.
Salim kasih sayang yang berpanjangan,
Zuhriah Mohamad Juoi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan