Ahad, April 17, 2011

MENGHADAPI KRITIKAN MANUSIA.

Kadang bermain di ruang fikiran. Merenung ke dalam diri. Adakalanya kita dicemburui oleh manusia lain tanpa disedari. Manalah kita tahu. Di depan kita berpura-pura baik. Di belakang kita lain pula ceritanya. Dijaja kisah yang bukan-bukan dengan tujuan mengaibkan peribadi kita. Susah untuk berhadapan dengan perkara-perkara begini walaupun kita telah cuba melakukan perkara yang baik untuk mencari keredaan Tuhan.

Inilah lumrah dunia. Manusia tidak akan berhenti untuk mengkritik antara satu sama lain. Justeru waspadalah terhadap apa yang mereka katakan. Kuatlan jiwa untuk mendengar kritik, cemuhan dan hinaan dari mereka yang mempunyai rasa-rasa yang tidak senang terhadap diri kita. Tetap kukuh berdiri sekalipun diterpa pelbagai dugaan dan ujian. Bahkan bertambah kukuh kerananya.

Andainya kita merasa terusik atau terpengaruh dengan kritikan atau cemuhan itu, bermakna kita telah menunaikan keinginan mereka untuk menyusahkan hidup kita. Teruskan perjalananmu dengan menunjukkan aklak yang baik dan membuat sesuatu ikhlas kerana Allah bukan kerana sesuatu yang lain. Cuba lupakan mereka. Jangan rasa tertekan dengan setiap usaha mereka untuk menjatuhkan kita.

Anggaplah krikan yang mereka lakukan itu sebagai pujian dan penghormatan untuk kita. Ingatlah bertambah tinggi darjat dan kedudukan yang kita capai, bertambah pahit pula kritikan yang akan kita terima.

Apa yang penting, ikhlaskan semua perbuatan kita hanya untuk Allah bukan kerana manusia! Barulah hati dan perasaan kita akan menjadi tenang dan damai semula.

Tiada ulasan: