Selasa, Mac 08, 2016

MEMBINA KEAZAMAN YANG TINGGI


Assalamualaikum. 
Masih di sini, ingin berkongsi pengalaman menceritakan kehidupan yang dilalui. Bagaikan ia suatu perjalanan yang panjang. Perjalanan hidup yang menguji keimanan. 

Alhamdulillah, masih diberikan rasa syukur untuk berterima kasih di atas segala kurniaan Allah. Rasa-rasa ini mestilah diperhalusi serta dipertingkatkan. Moga-moga ia berkekalan hingga ke akhir hayat dengan kalimah 'tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT'. Keimanan yang jitu dan padu. 

Saya terfikir-fikir di mana hikmahnya bila saya telah berpindah ke Taman Alam Perdana. Tempat yang sunyi dan masih tidak ada apa-apa aktiviti untuk menghidupkan suasana taman ini. Jika ingin mengharapkan aktiviti surau, mungkin jauh lagi ketika ini, yang ada hanyalah tapak surau sahaja. Suara azan pun tidak kedengaran, memang benar-benar sunyi. Beginilah keadaan yang perlu saya hadapi ketika ini.  

Alhamdulillah, masih ada tempat untuk berteduh. Rumah yang selesa dan yang penting suasana yang mendamaikan. Selebihnya pandai-pandailah menguruskan diri dan mencari jalan menghidupkan suasana di taman ini, bermula dari rumah yang kita huni.   

Ya...saya mulakan dengan mengadakan kelas pengajian al-Quran di rumah saya sendiri. Saya jemput sesiapa yang sudi untuk mengaji al-Quran di rumah ini. Biar taman ini meriah dengan penghuninya yang hidup dalam mencintai, membaca dan mengamalkan al-Quran. 

Di sini saya bermula, moga Allah memberkati segala usaha ini dan membantu saya untuk mencontohi Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Di mana Rasulullah s.a.w dan para sahabat sentiasa berjuang untuk menyebarkan Islam dan memperjuangkan agama Islam di mukabumi ini.  

Moga hati dan cita-cita (ingat perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat) sentiasa tersemat dalam sanubari, penuh dan padu tiada tergugat.  

Salam perjuangan yang pahit di sini, indah di sana!
Zuhriah Mohamad Juoi.