Jumaat, Ogos 21, 2015

PANDUAN MENULIS MANUSKRIP.

Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kepada FB Karya Bestari atas panduan yang diberikan.  Sebagai seorang yang minat menulis saya tidak dapat lari dari melakukan kesalahan atau kesilapan dalam menulis manuskrip. Alhamdulillah, adanya panduan yang diberikan dapat saya memperbaiki kelemahan yang ada, kerana buat masa sekarang manuskrip yang saya tulis dihantar kepada penerbit Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf.  
  


*Copy Paste dari FB Karya Bestari. 
Ramai yang bertanya tentang apa yang perlu mereka lakukan jika mahu menghantar manuskrip kepada kami.
Ini yang kami mahu daripada anda...

1- Pertama-tama, anda tentukan genre apa yang mahu ditulis; Kauthar (motivasi islamik), Raudhah (hukum-hakam), Soal Jawab atau Addien (Separa ilmiah)

2- Purata perkataan setiap satu manuskrip adalah antara 33 hingga 36 ribu patah perkataan. Jika kitab turath atau terjemahan, jumlah patah perkataan mungkin akan lebih banyak.

3- Menggunakan template normal, Times New Roman, saiz font 12.5, langkau 2, dengan maksimum setiap paragraf adalah 4 baris sahaja.

4- Ayat yang digunakan adalah ayat aktif, bukannya ayat pasif. Ini bagi memudahkan pembaca mencapai maksud.

5- Menggunakan ayat pasif tidak digalakkan kerana biasanya ayat ini menyebabkan pembaca terpaksa membaca berulang kali untuk memahami apa yang hendak disampaikan penulis.

6- Gunakan ayat yang ringkas, jelas dan tidak lewah. Jangan masukkan ayat yang tidak perlu hanya kerana mahu memanjangkan perbincangan atau manuskrip.

7- Jangan sesekali memendekkan ejaan Bahasa Melayu seperti 'yang' kepada 'yg', 'daripada' kepada 'drpd'.

8- Setiap satu ayat, jumlah perkataan yang ideal adalah 12 patah perkataan sahaja.

9- Tidak menggunakan ayat yang berulang-ulang. Misalnya pada paragraf pertama ada perkataan "di akhirat sana". maka perkataan yang sama ada di paragraf kedua, paragraf ketiga, paragraf kelima. Jumpa lagi selang 2 paragraf.
Atau..
Ayat yang sama digunakan berulang-ulang dalam setiap artikel.
Atau...
Penggunaan hadis dan ayat al-Quran yang berulang-ulang juga tidak digalakkan dalam setiap artikel. Guna ayat dan hadis yang berbeza dalam setiap artikel meskipun isi kandungannya sama.

10- Penyampaian dibuat dengan lenggok bahasa Melayu, bukannya lenggok bahasa Arab atau bahasa Ingeris atau apa-apa lenggok bahasa lain.

11- Minimumkan kesalahan ejaan. Jika anda tidak yakin, minta bantuan sesiapa untuk membaca bagi pihak anda atau semak ejaan di http://prpm.dbp.gov.my

12- Pastikan mode penyampaian untuk semua artikel dalam satu manuskrip adalah sama. Jangan artikel pertama, modenya lembut, artikel kedua berbaur melankolik, artikel ketiga berbunyi keras. Mohon jaga cara penyampaian anda.

13- Pastikan tidak menggunakan ayat tergantung.

14- Jika anda menggunakan hadis dan ayat al-Quran, nyatakan sumber. Daripada siapa? Bukhari? Muslim? Tirmizi? Nyatakan secara jelas. Ayat al-Quran pula, letak nama surah dan nombor ayat.

15- Letak tanda baca dengan betul. Bagaimana? Selepas menulis, anda baca semula mengikut intonasi. Maka, anda tahu di mana perlu diletakkan tanda koma, noktah, titik bertindih dan sebagainya.

16- Pastikan setiap paragraf ada 'continuation'. Jangan paragraf satu dan paragraf dua ada 'continuation', tiba-tiba paragraf ketiga tiada kena mengena dengan dua paragraf sebelumnya. Kemudian jumpa balik 'continuation' paragraf pertama dan kedua di paragraf keenam.

17- Pastikan ayat lancar bila dibaca.Jauhi ayat yang bila dibaca, anda akan rasa ayat itu tersangkut-sangkut.

18- Jika manuskrip anda diterima dan editor meminta penambahbaikan, sila beri kerjasama.

Ini adalah perkara asas yang perlu diberi perhatian ketika menghantar manuskrip kepada kami.

Semua senarai di atas juga adalah perkara pertama yang akan dibuat oleh editor bila melihat manuskrip anda.

*Insya Allah  - saya akan cuba mengikut panduan yang diberikan untuk manuskrip seterusnya.