Sabtu, September 13, 2014

TIPS PENULISAN : IA BAGAIKAN SUATU KEGILAAN.

Bagaikan satu kegilaan bila minat menulis datang bertandang. Ada ketika saya terlupa untuk peduli dengan apa yang berada di sekitar saya. Indah dan bahagia sungguh bila dapat berdua-duaan dengan laptop. Intim yang tiada kesudahan. Gila dalam erti kata yang masih normal, sebab otak saya masih berfungsi di alam nyata. Begitulah rezeki yang Allah berikan kepada manusia. 

Rezeki Allah itu amat luas dan mempunyai pengertian yang mendalam. Otak akan lebih berfungsi bila selalu digunakan dan itulah kebesaran Allah yang mencipta otak untuk manusia boleh dan sentiasa berfikir. Alangkah ruginya manusia jika dia tidak mahu untuk menggunakan otaknya untuk berfikir sesuatu dan mencungkil sepenuh potensi yang berada dalam dirinya.     

Allah itu Maha Adil kepada para hambaNya. Namun sejauh mana manusia menyedari hal ini dan berusaha untuk sentiasa mencapai kejayaan buat dirinya di dunia ini? 

Target dalam menulis. 

Saya ingin mencabar diri sendiri sejauh mana bakat dan minat saya dalam dunia penulisan buku ini mampu diserlahkan. Bila buku Terima Kasih Tuhan Atas Cinta Ini menjadi 'Best Seller', saya terus cuba menulis sesuatu yang mampu menggembirakan diri dan ia merupakan suatu perkongsian untuk sama-sama mendapat keredhaan Allah SWT. 

Firman Allah: 
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, dan demikian itulah agama yang benar."         (Surah al-Baiyyinah :5)   

Tidak dinafikan melakukan sesuatu dengan penuh ikhlas dan semata-mata mahu mencari keredhaan Allah bukanlah sesuatu yang mudah. Ia sangat mudah digelincirkan oleh nafsu dan syaitan yang sentiasa menggodakan dengan bisikan yang jahat. 

Menulis ini juga mestilah diniatkan untuk mencari keredhaan Allah. Disamping bersyukur dengan bakat dan minat yang Allah anugerahkan dalam bidang menulis ini. Jagalah hati dan teruskan perjuangan. Ingatlah kekuatan mata pena itu lebih tajam daripada sebilah pedang. Begitulah perumpamaan kekuatan yang dimiliki oleh seseorang terhadap harga sebuah tulisan. Justeru hati-hati bila ingin menulis sesuatu.