Sabtu, Julai 19, 2014

AMPUNKAN DOSAKU YA ALLAH.

Assalam. 
Tiba-tiba badan rasa mengigil. Suhu badan naik. Terasa panas sekali. Kepala pening dan berat. Selsema dan batuk. Semuanya bercampur menjadi satu. Begitulah jika badan sudah tidak sihat. 

Tiba-tiba terbayangkan bagaimana saat-saat akhir Rasulullah s.a.w di pangkuan isteri Saidatina Aisyah ketika baginda hendak wafat. Ya...tiba-tiba saya ingat akan kematian. Bila Allah hendak menjemput tidak kira siapa, pasti akan pergi menemui Allah. 

Ya...di saat sedang sakit begini, saya ingat kematian itu semakin hampir. Badan yang tidak boleh dibawa lasak, pasti demam itu mudah menyerang. Sekarang demam kerap menyerang. dan symton yang sama akan berulang. Tandanya pertahanan badan saya sudah tidak kuat lagi. Itu juga ingatan dari Allah buat diri saya. 

Malam ini, malam yang ke 22 Ramadan dan semalam. Saya sudah tidak mampu untuk ke masjid dan menjengok anak-anak kariah kampung bertadarus. Saya rindu untuk melihat gelagat anak-anak ini bertadarus. Anak-anak ini yang memanggil saya ustazah (tetapi saya bahasakan diri saya makcik) memerlukan bimbingan. 

Selama ini mereka asyik kena marah bila ke masjid, tetapi saya menggunakan pendekatan yang paling mudah...nasihat dan cakap elok-elok...tidak marah. Hasilnya mereka rajin datang bertadarus, peningkatan bacaan mereka semakin lancar dan bertambah baik.       
Di kala badan terasa lemah dan sunyi bila berada di rumah sementara suami dan anak ke masjid, saya merenung ke dalam diri. Pasti kematian itu makin hampir, saya berpesan kepada anak-anak, agar anak-anak mampu untuk mandi, kafan dan solatkan jenazah saya nanti. Insya Allah. 

Dalam keadaan yang lemah dan terasa kepala yang berat, saya lakukan solat fardhu dan tarawih dalam kadar yang termampu. Dan doa: 

"Allah ampunkan dosa-dosaku! Matikan aku dalam keadaan yang baik dan jauhi aku dari azab kubur dan neraka. Berilah aku kebahagiaan di dunia dan dia khirat sana." 

Amin ya Allah. 

Rasanya begitulah coretan saya pada kali ini. Selalu saya katakan jiwa seorang penulis itu akan sentiasa ghairah untuk menulis di kala gembira, sedih, sihat dan sakit. Ia dilakukan penuh rela dan tiada siapa yang memaksa.      

Wassalam. 

Bantulah kami ya Allah.