Selasa, Januari 07, 2014

MILIKI KETEGUHAN HATI.

Azam bertambah kukuh untuk mengejar beberapa perkara yang menjadi impian. Namun begitu sebelum mencapai sesuatu, pasti perjuangan perlu diatur dan ditingkatkan semasa perlaksanaanya nanti. 

Memiliki sikap tabah dan sabar sangat diperlukan saat-saat ini. Hati dan jiwa perlu dididik menjadi kental, dan tidak perlu untuk sentiasa mengeluh penat, letih, lelah dan sebagainya.     

Menceburi bidang penulisan buku, mesti ada daya ketahanan dan sabar. Paling seronok menulis ketika dalam kesedihan, idea bagaikan mengalir deras. Sedih campur gembira. Bila tangan berlari laju menekan huruf-huruf menjadi perkataan demi perkataan, ayat demi ayat, perenggan dan perenggan lagi. 

Lidah kelu untuk berkata atau bermadah. Rasa diri terasing dan keseorangan membawa haluan penulisan. Namun mujurlah, Allah masih menggerakkan fikiran untuk melahirkan dan meluahkannya pada sebuah taman blog yang indah. Di sini, tempat saya melabuhkan diri seketika. Meluahkan bicara dalam bahasa yang mudah dan santai. Bila melakukan sesuatu yang digemari, hati menjadi ceria kembali. Ia datang dengan sendiri. 


Saya menjadi terhibur untuk berlari mengejar apa yang dirancang dan melaksanakan apa yang yang berada di fikiran. Seluruh dan segalanya menjadi begitu mencabar dan indah rasanya. Saya menjadi segar dan terbina motivasi diri.

Apa sahaja yang ingin dilakukan pasti ada sahaja cabaran atau ujian yang akan dihadapi. Perlukah kita berkata; 

"Aku sudah tidak mampu untuk menghadapi semua ini...?" 

Usah begitu, lihat dan yakin pada diri. Sesungguhnya dunia ini memang tempat untuk kita menempoh ujian demi ujian. Bila kita melaluinya dengan keimanan, di situ kita meraih pahala sabar. Patutlah sabar itu sebahagian daripada iman. 

Melalui rentetan pelbagai ujian kehidupan, mendidik diri untuk lebih menyedari kebesaran Allah dan kerdilnya diri ini. Bersama kesedihan yang melanda diri, kita membawanya untuk mengadu kepada Allah. Memohon dan memohon bantuan dari Allah. 

Akhirnya terasa masalah menjadi kecil dan ada jalan penyelesaian. Paling menggembirakan, di hujung jalan yang berliku terbentang pemandangan yang sangat cantik dan membawa kedamaian. Terasa hati bagaikan ada siraman air yang sangat segar dan cahaya yang bersinar. 

Alhamdulillah, rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa melimpah ruah bagi hati-hati yang mendambakannya. Teguhkan hati, agar pendirianmu turut teguh dan tetap. Tidak mudah goyah sebelum mencapai matlamat.                   
      











Tiada ulasan: