Jumaat, November 01, 2013

IKTIBAR PERANG BADAR

Pagi jumaat ini saya tercari-cari sesuatu yang boleh menceriakan dan bersemangat. Ghairah dalam menguruskan kehidupan seharian tanpa mahu memikirkan masalah yang menyerabutkan fikiran. Mahu menjadi manusia yang berjiwa besar. 

Bila memiliki jiwa besar, kita mampu melihat segala masalah menjadi kecil. Ingatlah, setiap masalah hidup ada jalan penyelesaian. Besarkan jiwa dan milikilah pemikiran yang kreatif, agar dirimu menemui jalan-jalan pencerahan masalah. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.    



Kini imaginasi saya berada di padang pasir yang tandus. Peristiwa yang berlaku lebih kurang pada 1400 yang lalu. Bagaimana Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang diberitakan hanya seramai 313 orang berperang melawan pihak musuh. 

Keberanian dan keyakinan diri yang mereka miliki. Menentang pihak musuh yang ramai adalah kerana keberanian luar biasa yang dimiliki Rasulullah s.a.w. Pastinya ia terhasil dari keyakinan akar umbi keimanan yang mantap tanpa berbelah bagi untuk memperjuangakan Islam.

Menyingkap sejarah, ingatkah kita Rasulullah s.a.w pernah berdoa di saat Perang Badar, saat baginda melihat pasukan musyrik berjumlah 1,000 orang, sedangkan pasukan orang-orang Islam hanya sekitar 300 orang. Baginda berdoa;

"Ya Allah, kabulkanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika Engkau binasakan kelompok kecil dan kaum Islam ini, tidak akan ada seorang pun yang menyembahMu di atas bumi ini." (Hadis sahih, riwayat Abu Dawud, Tirmizi dan Ibnu Jarir) 

Akhirnya, dengan bantuan Allah SWT, kemenangan dicapai oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Kemenangan yang digapai oleh umat Islam semasa  Perang Badar, bermulalah titik perkembangan Islam hinggalah ke hari ini. Bersyukurlah kita yang telah beragama Islam. Ingatlah bagaimana pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat memperjuangkan Islam dahulu.   
    

Perang Badar memberikan kita suatu iktibar yang cukup berkesan, untuk terus mencontohi perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat. 

Adalah menjadi matlamat agar semangat keberanian dan keyakinan perjuangan mereka menyerap ke dalam hati, akal dan perasaan agar kita terus mengingati dan sama-sama perjuangkan Islam pada diri, keluarga dan masyarakat.   

Tahun 1435 Hijrah akan datang, semangat perjuangan Islam  terus berkobar dan bercahaya untuk mengambil Rasulullah s.a.w sebagai 'role model' dalam menjalani kehidupan seharian. 

Itulah keazaman yang perlu ditanam pada diri dan ia adalah penghijrahan diri yang terbaik. Diri menjadi lebih baik dari semalam.  

Selamat menyambut tahun 1435H.  



Tiada ulasan: