Isnin, Julai 29, 2013

PESAN EMAK

Janji saya pada emak belum sempat saya tunaikan. Masa hendak ke Melaka, emak pesan belikan kuih bangkit (warna putih), putu kacang (warna hijau) dan dodol. Oleh kerana terlalu penat dan tidak larat berjalan saya tidak ke mana-mana, maklum sahajalah puasa yang sudah masuk ke bulan akhir. Saya hanya tinggal di rumah dan berbual-bual dengan adik yang terbaring kerana alahan kehamilan.  

Sejak ke belakangan ini (sejak kematian arwah bapa) saya agak sensitif dengan permintaan emak. Rasanya apa sahaja yang emak sebut dan inginkan kami adik beradik akan penuhi. 

"Insya Allah mak, lapang dan ada daya nanti, saya akan penuhi juga permintaan emak tu. Tetapi bukan lagi dari Melaka, tetapi saya beli hanya di Kuala Lumpur."    

Harap-harapnya dapatlah saya jumpa kuih bangkit, putu kacang hijau dan dodol tersebut. Saya seorang yang tidak suka berasak-asak. Sekarang ke mana-mana sahaja manusia penuh dan berebut-rebut, sama ada hendak membeli baju, kuih-kuih dan apa sahaja. Itu yang menyebabkan saya fikir dua dan tiga kali bila hendak bergerak ke mana-mana.   

Alhamdulillah sebelum berjumpa emak di rumah kakak di Kuang, saya terjumpa juga dengan sebuah kedai. Masuk sahaja di kedai tersebut, saya terus bertanya;

"Di sini ada jual dodol, kuih bangkit dan putu kacang."

"Ada-ada...ni disini." Penjual kedai tersenyum mesra sambil menunjukkan kuih-kuih tersebut." 

Alhamdulillah, Allah mudahkan pencarian. Tanpa membuang masa saya beli dan bayar harganya. 

"Saya beli ya...terima kasih." 

Sampai sahaja di rumah kakak, saya bersalam mencium tangan emak. Hati penuh ceria melihat wajah emak, sambil menghulurkan kuih-kuih yang emak pesan. 

Emak tersenyum gembira. Saya pula merasa sangat bersyukur dan lega. Permintaan emak telah saya penuhi.     

  

Tiada ulasan: