Orang kata tidak elok fikir makanan dalam bulan puasa. Tapi hari ini saya ingin merancang menu untuk hidangan hari raya nanti. Hidangan wajib bagi keluarga ialah rendang ayam, nasi himpit, kuah lodeh (itu sudah cukup bagus jika saya dapat menyediakannya). Lagi satu kuah kacang (tapi saya tidak berapa tahu membuatnya - jika menu jawa yang buat lagi sedap - rasa tak perlu buat). Sedikit kuih tunjuk-tunjuk ikut bajet yang ada. Itu sudah memadai bagi.
Kembali kepada puasa Ramadan - kali ini saya diuji dengan pelbagai ujian yang hebat-hebat belaka. Alhamdulillah - Allah kuatkan juga hati ini untuk melalui dan tabah menghadapinya. Saya ingat akan firman Allah:-
"Dan mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali orang yang khuysuk." (surah al-Baqarah : 45)
Ya...hati dan perasaan bagaikan tersayat-sayat oleh sembilu yang tajam. Ia amat sakit dan pedih bersama keperitan ujian yang menimpa. Namun, manusia yang beriman mestilah akur akan segala takdir yang menimpa.
Ujian yang datang lebih mematangkan dalam menilai hati budi seseorang. Setiap ujian walaupun terasa sakit sekarang, mungkin kemanisannya akan dirasai nanti.
Ujian kehidupan lebih menyedarkan betapa kerdilnya diri ini. Dan selayaknya kembali kepada Allah dengan sabar dan mengerjakan solat memohon pertolongan daripada Allah. Ternyata kebenaran itu. Bawalah kesedihan itu kepada Allah dan pastinya ketika sujud nanti hati terasa sangat lapang dan tenang. Allah tidak pernah mensia-siakan seorang hamba-Nya yang benar-benar memohon pertolongan.
"Terima kasih ya Allah. Sujud dan syukurku sentiasa berpanjangan dan mohon tetapkan hati ini untuk sentiasa meminta pertolongan-Mu dan tetapkan juga hati ini untuk menjadi hamba-Mu yang taat dan patuh akan segala perintah-Mu."
"Kuatkan diri ini untuk menjadi seorang yang tabah dan sabar menempoh liku-liku kehidupan. Ketika senangnya aku menjadi orang yang bersyukur dan ketika ujian-ujian yang datang membelit diri, aku menjadi orang yang sabar menghadapinya."
"Ya Allah, air mata yang tiada henti mengalir ini, tanda taubat dan kerdilnya diriku di sisi-Mu ya Allah. Selayaknya aku diuji dengan pelbagai ujian. Moga-moga ia merupakan pengampunan dosa dan lebih mendekatkan aku dengan-Mu ya Allah."
"Terima kasih ya Allah, sejauh perjalanan dan sisa-sia umur yang Engkau panjangkan, masih lagi hati ini inginkan kebaikan dan ingin lebih mendekatkan diri ini pada-Mu ya Allah."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan