Ahad, Julai 21, 2013

'KARIPAP PUSING'

Agak-agak ada yang tersenyum bila membaca ruangan ini. Masih lagi dalam selera Ramadan. Selera Ramadan kali ini saya paling suka makan kuih karipap. Bila hendak berbuka sahaja juadah yang paling saya gemari dan cari ialah kuih karipap. 

Apa lagi jika mendapat kuih karipap pusing. Lagi mendalam rasa 'pusing' karipap tersebut. Ini menyebabkan selepas berbuka dengan sebiji kurma mariami, pasti saya mencari karipap. Sebiji kurma mariami, sebeiji kurma dan segelas teh panas. Itulah juadah berbuka sebelum menunaikan solat maghrib.  

Siapa yang menjadi mangsa untuk mencari karipap bagi berbuka puasa nanti. Pastilah suami dan anak lelaki saya? 


"Jangan lupa untuk ummi, karipap pusing ya." Bila mereka bertanya apa pesanan saya bila mereka hendak singgah di pasar Ramadan.  

Hendak dijadikan cerita, jenuh mereka mengelilingi pasar Ramadan sekadar untuk memenuhi permintaan saya - karipap pusing. Memang pusing pula mencarinya.  

Setelah dapat karipap pusing mereka terus masuk ke kereta. Saya hanya menunggu di kereta kerana tidak mahu mengikut ke pasar Ramadan - penat dan tidak larat satu hal.     

"Ni...jenuh nak cari karipap pusing. Mahal pula tu. Satu lima puluh sen dengan saiz yang agak kecil. Habis satu pasar kena pusing. Suami mula memberi komentar. 

Terasa diri bersalah. Menyusahkan orang di bulan Ramadan begini, takut pula menjadi satu dosa. Astaghfirullah. Menyesal pula menyebut perkataan karipap pusing itu. Lantas saya bersuara agak perlahan; 

"Tak ape lah jika tidak ada karipap pusing. Cari sahajalah karipap." 

Saya mengambil iktibar dari peristiwa yang terjadi, pesan sahajalah karipap sudah memadai, tidak perlulah karipap pusing - jika mahu menyusahkan orang lain pusing itu tidak perlu lagi, cukup karipap sahaja. Itu lebih mudah dan senang. Jangan menyusahkan tapi permudahkanlah apa lagi dalam soal makanan.   


Tiada ulasan: