Rabu, Mei 29, 2013

CATATAN UMRAH - MERPATI TERBANG SEKAWAN

Pemandangan ini akan mudah dilihat jika kita dalam perjalanan menuju ke Masjidil Haram atau sekitarnya dengan berjalan kaki. Riang dan gembira bukan kepalang melihat burung merpati terbang sekawan. Saya mengambil kesempatan ini dengan membeli makanan burung yang berharga lima riyal daripada penjual arab badwi.   

Setiap kali berjalan menuju ke Masjidil Haram saya akan beri makan burung-burung yang sedia berkeliaran di kawasan itu. Hati terasa lapang bila melihat burung-burung merpati berkejaran mematuk makanan yang ditaburkan. 

Lihat tu! Murah rezeki si merpati. Cuba tengok. Merpati memiliki bulu yang bersih dan badan yang segar. Tandanya merpati hidup mewah dan aman di bumi yang sangat bertuah.    


Saya suka melihat burung bebas berterbangan. Subhanallah. Maha Suci Allah dalam menciptakan pelbagai makhluk dan haiwan di muka bumi ini. Alhamdulillah juga, Allah cetuskan rasa kasih sayang ini. Hati terasa lembut, tenang dan kedamaian memenuhi ruang hati. Merasai Maha Besar dan Maha Hebat Allah SWT. 


Ada seperkara yang ingin saya beritahu para pembaca. Lihat tu dalam gambar. Ada beberapa jemaah umrah (mungkin dari Pakistan) sedang mengutip bijirin makanan burung. Mengapa mereka berbuat begitu? Pelik juga, ramai pula yang melakukannya. 

Namun teringat, saya pernah terbaca laporan akhbar tempatan yang mengatakan bijirin yang dikutip itu boleh mengubati penyakit mandul atau penyakit lain-lain. Aduh! Betul ke begitu? Atau itu hanya kepercayaan yang karut. 

Perlunya kita mencari dan menambah ilmu sebelum pergi menunaikan umrah atau haji. Elakkan dari sekadar mengikut-ikut tanpa ilmu yang sahih.    


Tiada ulasan: