Pembaca yang dirahmati Allah,
Adakalanya saya menulis pelbagai rasa. Cinta, sirah, keluarga, pengalaman perjalanan dan lain-lain. Hal yang demikian saya lakukan, menurut apa yang terlintas dan apa yang berada dalam fikiran ketika itu.
Di kala saya dalam termanggu-manggu tidak tahu membuat apa, saya suka membaca tentang sirah. Sejarah Rasulullah s.a.w, para sahabat dan pejuang-pejuang Islam yang silam. Ia akan membakar semangat, menyebabkan saya bercita-cita dan berkobar-kobar untuk mencontohi mereka. Mencontohi orang-orang yang soleh, dengan harapan kita juga turut menjadi baik dan kuat iman seperti mereka.
Di kala saya kesunyian dan tidak mahu kesunyian itu mencengkam jiwa, saya suka belajar berniaga melalui internet. Ia akan membuatkan saya sibuk dalam mengira angka-angka. Minda diajak untuk berfikir secara tangkas dan kreatif. Tetapi ketika ini jugalah saya agak kelam kabut dan menjaga hati agar tidak lalai dengan kesibukan. Waktu ibadah perlu dijaga terutamanya waktu solat yang lima.
Tumpuan utama saya ialah bidang penulisan. Saya suka menulis dan sedang menumpukan perhatian untuk menyiapkan dua buah buku. Masa-masa sunyi memudahkan saya untuk fokus menulis dan menulis. Baca, baca dan baca. Menulis dan membaca suatu hobi yang tidak pernah menjemukan.
Harap saya mendapat ilham yang bagus, baik dan dapat pula disampaikan secara tenang dan teratur. Menulis bukan mencari kemegahan diri tetapi menulis mencari keredaan Allah. Bakat yang ada pada diri perlu disalurkan sebaik-baiknya untuk menjadikan saya manusia yang terus bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan