Khamis, Januari 03, 2013

NIAT

Memulakan segala sesuatu dengan niat kerana Allah. Niat yang utama dan yang perlu diperbetulkan terlebih dahulu. Niat tidak susah, kerana ia merupakan lintasan hati. Ataupun pekerjaan hati.   

Apa-apa sahaja yang kita lakukan mestilah niatnya kerana Allah. Bukanlah kerana ada sesuatu perkara lain yang di sebaliknya. Hinggakan sewaktu hendak menunaikan solatpun kita masih dilatih dan diajar untuk berniat:

"Sahaja aku solat ...... kerana Allah." 

Bila dilakukan kerana Allah, barulah datang rasa keikhlasan. Namun begitu, ikhlas itu rahsia Allah. Hanya Allah yang tahu manusia yang benar-benar ikhlas. Justeru marilah kita melatih membuat sesuatu hanya kerana Allah. Hati kita menjadi kosong dan diisi hanya kerana Allah.  

Misalnya dalam mentaati suami, mengapa kita wajib mentaati suami, kerana Allah menyuruh seorang isteri mentaati suaminya. Di sini kita akan menyedari bahawa taat kepada suami adalah kerana Allah SWT. Tetapi ketaatan juga ada kadarnya. Andainya seorang suami menyuruh si isteri melakukan maksiat, di situ kita tidak wajib lagi patuh dan taat kepada suami.

Membuat sesuatu kerana Allah, akan menyebabkan hati kita menjadi sibuk dan terisi dengan sentiasa ingat pada Allah. Tidak kira ke mana dan di mana sahaja seseorang itu berada, hatinya tidak terlepas untuk mengingati Allah. 

Kebahagiaan dapat diraih jika seseorang itu mampu mengingati Allah di dalam hatinya. Ibarat seorang yang merindui sang kekasih yang jauh di mata. Pasti sentiasa teringat-ingat di dalam hati. Allahu Akbar - Allah Maha Besar. Pimpinlah hati ini untuk sentiasa mengingati-Mu dan melakukan sesuatu hanya keranaMu - ya Allah.        

Tiada ulasan: