Rabu, November 28, 2012

KEMBALI MENYELUSURI KISAH PARA SAHABAT.

Tahun 2011 Allah mengizinkan saya menjejaki kaki ke bumi Madinah dan Makkah. Sekembalinya saya dari mengerjakan umrah, perasaan merindui Rasulullah s.a.w dan para sahabat sangat kuat tertanam dalam diri. Alhamdulillah...selayaknya saya terus bersyukur dan bersyukur. 

Ketika berkunjung ke makam Rasulullah s.a.w, rasa sangat berdebar tetapi gembira sebab orang yang selalu kita baca sirahnya, dapat juga berkunjung ke makam baginda. Mengunjungi makam Rasulullah s.a.w sangat memberi manfaat buat diri saya. 

Misalnya ketika saya rasa lemah atau rasa malas-malas untuk melakukan ibadah, kenangan mengunjungi makam Rasulullah s.a.w membakar semula semangat saya. Memberi kekuatan untuk terus mujahadah dan bersemangat untuk meningkatkan iman dan diri rasa termotivasi secara sendiri.        

Ingin saya contohi perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Ingin saya contohi kemantapan iman yang mereka miliki. Pengorbanan mereka dalam memperjuangkan Islam  sangat berkobar dalam diri. Alhamdulillah. Saya menyingkap semula kisah perjuangan isteri-isteri Rasulullah, anak-anak baginda terutamanya Fatimah. Anak-anak Abu Bakar as Sidiq terutamanya Aisyah dan Asma. Penderitaan yang dialami oleh Zinnirah, Sumayyah dan kehebatan Nusaibah dan Khaulah di medan peperangan. 


Kemantapan iman mereka kepada Allah dan Rasulullah s.a.w sangat menebal. Hasilnya pengorbanan mereka tiada tandingan. Nyawa menjadi taruhan kerana lambaian syurga sudah berada di ruang mata mereka. Subhana Allah. Maha Suci Allah. Banyak lagi yang perlu saya ulang kaji untuk terus membaca dan mengulang kembali sirah yang mampu menjadikan saya teruja.

Bukan sahaja teruja, namun terus menyerapkan semangat perjuangan orang-orang soleh ini ke dalam diri. Walaupun ada kalanya kita tewas di kala mujahadah untuk meningkatkan keimanan namun dengan mengenang sirah Rasulullah s.a.w  memberikan satu kekuatan untuk cuba gagah dan memiliki kekentalan semangat untuk tidak berputus asa. Tetapi cuba meneruskan perjuangan agar keimanan dan Islam sentiasa bersemarak dalam diri.  
         


Tiada ulasan: