Selasa, November 20, 2012

ARUS KEBANGKITAN ISLAM.

Saya duduk merenung komputer. Melayari internet dan sempat melihat laman muka buku. Penuh isu kekejaman Israel di Gaza, iklan pelbagai  produk yang melambak, keputusan  UPSR yang meraih 5A dan yang tidak ada A langsung dan lain-lainnya. Semuanya saya lihat sekali imbas dan berlalu. Akhirnya jari jemari  pantas klik,  'log out'.  

Saya terfikir untuk menulis sesuatu. Ia tentang arus kebangkitan Islam. Bila dikatakan arus kebangkitan Islam, jangan pula kita cuba melawan arus. Tetapi marilah kita sama-sama menjadi orang-orang yang berjuang mempertahankan Islam. Walaubagaimana serangan dan cubaan dilakukan untuk menghancurkan Islam, pasti ia akan mendapat pembelaan daripada Allah jua akhirnya. 

Secara peribadi, kita tingkatkan keimanan untuk menjadi orang-orang yang bertaqwa dengan mengambil Rasulullah s.a.w dan para sahabat sebagai role model dalam kehidupan. Sekilas kita menoleh ke belakang. Perang Badar yang sangat memberi iktibar. Dan semangat perjuangan kita menjadi segar.     

Allah yang mensucikan Rasululah s.a.w, Allah jua  yang mengutuskan baginda. Allah tidak akan membiarkan Rasulullah s.a.w walaupun dalam kekuatan yang sedikit (tentera Islam lebih kurang 313 orang sahaja) menghadapi  kekuatan seribu orang tentara kafir). 

Firman Allah :
(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu; "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut. (Surah al-Anfal: 9).   

Di dalam Perang Badar itu Allah ingin memperlihatkan kepada orang-orang kafir, bahawa kekuatan dan jumlah mereka yang ramai bersama keyakinan batil tidak akan dapat menjadikan mereka menang dalam perang. Melainkan mereka akan merasa tersepit hingga akhirnya mengalami kekalahan dalam perang. 

Firman Allah: 
Agar Allah menetapkan yang hak (Islam) dan membatalkan yang batil (syirik) walaupun orang-orang yang berdoa (musyrik) itu tidak menyukainya. (Surah al-Anfal : 8). 

Peperangan Badar adalah peperangan pertama yang turut disertai oleh malaikat. Rasulullah s.a.w dan para sahabat hanya sebagai alat.  Allah yang menyusun dan memenangkan orang Islam. Allah yang mengalahkan orang bukan Islam dalam peperangan itu. Allah menamakan peperangan Badar sebagai Yaumul Furqan atau Hari Perbezaan. Hari itu berlaku perbezaan antara kebenaran dan kebatilan, sehingga tertonjol kebenaran. Kemenangan di Badar menaikkan kemuliaan Rasulullah s.a.w. 

Allah menyebut berhubung dengan peperangan Badar;
"Sesungguhnya pada yang demikian itu ada pengajaran kepada orang-orang yang mempunyai penglihatan." (Surah ali-Imran : 13)
Justeru peringatan buat diriku, tingkatkan keimanan dan taqwa kepada Allah.

Tunggulah saatnya, musuh-musuh Islam yang sudah melampaui batas pasti akan menerima padah dan azab. Allah tidak akan membiarkan Islam hancur dan umat Islam terus dizalimi. Tetapi untuk mendapat pembelaan Allah, umat Islam mestilah terus membina ketaqwaan dalam diri masing-masing. Janji Allah, Allah pembela orang-orang yang bertaqwa. 

Wahai diriku! Ayuh, sibukkan dirimu dalam mempertingkatkan keimanan dan membina taqwa. Agar hidupmu memberi manfaat kepada manusia lainnya dan ada sahamnya dalam menyahut arus  kebangkitan Islam. 

Tiada ulasan: