Khamis, Ogos 02, 2012

KEINDAHAN RAMADAN 5.

Gambar kenangan 13 Ramadan 1433H seusai majlis khatam al-Quran di bilik kuliah muslimah Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah (MJTAAS), Kampung Sungai Penchala.  
Salam sejahtera pembaca yang budiman, 
Izinkan saya untuk memulakan bicara mengikut rentak irama yang senada dengan bulan Ramadan yang mulia ini. Saya mengambil peluang dan ruang yang tersedia, ingin melahirkan rasa syukur yang berpanjangan, Allah mengizinkan saya untuk membimbing kaum ibu (dalam gambar) untuk sama-sama membaca al-Quran secara tartil.

Pada mulanya saya menolak permintaan mereka,  kerana tugas-tugas harianpun sudah terasa tidak terpikul. Apakan lagi untuk memberi komitmen mengajar seseorang membaca al-Quran. Namun di sudut hati, terasa bersalah. Ilmu yang Allah berikan perlu saya sumbangkan kepada mereka yang memerlukan. Inilah perjuangan dalam melaksanakan dakwah Islamiah. Kembali kepada al-Quran untuk terus mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT.     

Tanpa rasa jemu, saya terus melatih sikap sabar dalam memberi bimbingan dan mengajar ilmu tajwid seadanya kepada mereka. Alhamdulillah, peningkatan bacaan berlaku dari minggu ke minggu dan bulan ke bulan. Ada yang dahulunya tidak mengenal huruf, hari ini sudah dapat membaca dengan lancar. Ada yang dahulunya mengaji tergagap-gagap dan terangkak-rangkak, sekarang sudah dapat membaca al-Quran secara tartil.  

Ya...begitulah, saya merenung ke dalam diri. Andainya saya menolak permintaan mereka dahulu.. 


"Ya Allah, andainya usahaku ini memberi manfaat kepada manusia yang lain...ampunkan dosa-dosaku ya Allah. Pimpinlah diri ini untuk memberi contoh teladan yang baik buat manusia yang lain. Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w,  para sahabat dan keluarga baginda  dalam hidupku dan jadikanlah aku sebagai manusia yang sentiasa sibuk menjaga akhlaknya dengan Allah dan tidak melupai akhlaknya sesama manusia. Ya Allah, pimpinlah hati ini untuk sentiasa berada dalam naungan kasih sayang dan keredhaan-Mu."      

Tiada ulasan: