| Suami dan anak yang dikasihi, seorang lagi di asrama. |
Di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Kampung Sungai Penchala ia dipenuhi dengan jemaah yang mengimarahkan masjid.
Hari Sabtu dan Ahad, kuliah subuh yang menyentuh kemuliaan Ramadan disampaikan oleh para penceramah atau para ustaz yang bertauliah. Jemaah yang menghadirkan diri ke masjid juga bertambah. Rata-rata kelihatan kaum lelaki yang memakai jubah dan berkopiah memenuhi tempat solat. Alhamduillah sejuk mata memandang dan terasa keindahan Ramadan.
Menjelang magrib ramai juga jemaah berbuka di masjid. Adakalanya berebut-rebut tetapi makanan tetap mencukupi untuk orang yang berbuka puasa. Berbuka sekadar dengan beberapa biji tamar dan air pembasah tekak, diri dilatih untuk segera menunaikan solat maghrib. Itu sunnah Rasulullah s.a.w.
Setelah itu, barulah jemaah dihidangkan nasi dan lauk seadanya. Alhamdulillah..itulah keberkatan yang diperolehi bila manusia mengunjungi rumah Allah.
Malam diindahkan lagi dengan melakukan solat tarawih 20 rakaat dan 3 witir. Disambungkan lagi dengan tadarus al-Quran oleh orang dewasa dan kanak-kanak.
Tetapi pada tahun ini, selesai melakukan tarawih di masjid, saya dan keluarga bersegera pulang untuk melakukan tadarus di rumah. Indah dan bahagianya di hati tidak terkira. Saya dapat bertadarus bersama suami dan anak (suatu perkara yang jarang dapat dilakukan pada tahun-tahun yang lepas) tapi tahun ini Allah memberikan satu kesempatan buat kami sekeluarga. Rumah makin terasa berseri dengan suara bacaan al-Quran. Al Quran bukan sahaja untuk dibaca dengan menjaga hukum tajwidnya sahaja, tetapi untuk difahami, dihayati, diamalkan dan diperjuangkan dalam diri hingga ke akhir hayat.
Keindahan Ramadan mampu mengukir bahagia dan kedamaian dihati bila sama-sama dapat mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan