Ahad, Julai 29, 2012

KEINDAHAN RAMADAN 3

Peluang untuk berbuka puasa bersama anak-anak tercapai pada hujung minggu ini. Suasana rumah begitu ceria sekali. Suami senyum berpanjangan bila sekali-kala dapat berkumpul begini. Saya bersemangat untuk masak kuah lemak cili padi atas permintaan suami dan anak lelaki. Saya masaklah seadanya sahaja. Bulan Ramadan bulan yang penuh keberkatan. Rezeki berbuka sentiasa ada dan berpanjangan. Alhamdulillah. 
Selepas berbuka, kami berempat solat tarawih di masjid. Dan pulang sambung tadarus al-Quran di rumah. Tadarus di mulai dengan suami, saya, anak lelaki dan anak perempuan. Masing-masing bersemangat dan menegur satu sama lain bila ada yang tersilap membaca. Suasana rumah menjadi hidup di bulan Ramadan ini. Alhamdulillah. 


Waktu bersahur suasana meriah. Anak lelaki yang baru sahaja habis membaca buku Khalifah-khalifah Yang Benar bercerita pula apa yang telah dibacanya. Bagaimana pemerintahan Islam di bawah pentadbiran Saidina Abu Bakar As Siddiq dan perjuangan Abu Bakar di sisi Rasulullah s.a.w. Hari dimulai dengan sesuatu yang indah untuk mengingatkan kembali perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat agar segar di minda. Sekali gus mencontohi semangat perjuangan mereka. Alhamdulillah.           
Suasana begini tidak akan saya lupakan dan menjadi kenangan yang manis dalam hidup saya. Sesungguhnya keluarga yang bahagia menjadi idaman setiap manusia. Di mana dan ke mana untuk mencari bahagia ini? 
Semuanya berada di dalam hati kita. Bila kita memilih dan mencari jalan-jalan keredhaan Allah, pasti di situ ada kebahagiaan dan kedamaian. Hati menjadi bahagia dan damai bila kita memilih untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Segala puji hanya layak untuk Allah. 

Tiada ulasan: