Jumaat, Jun 15, 2012

BAHASA MELAYU DAN PEMBLOG..

Peringatan buat diriku,
Kali ini saya ingin menyampaikan sesuatu yang agak berat sedikit. Ia perlu untuk kebaikan dan kepentingan kesedaran penggunaan bahasa Melayu terutamanya buat sesiapa sahaja yang berminat menulis di blog masing-masing. 
Bagi mendepani arus era blog kini, pemblog turut memainkan peranan yang besar dalam mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan dalam komunikasi maya. 
Penggunaan bahasa yang salah akan menggambarkan kelemahan dalam kemahiran bahasa dan yang paling buruknya akan  memaparkan kelemahan diri. Ke manakah hala tuju bahasa Melayu jika penuturnya tidak ada jati diri dan tidak memelihara bahasanya? 
Cuba elakkan;

  • Penggunaan bahasa rojak dan pasar. 
  • Menggunakan perkataan yang tidak dieja dengan betul. 
Kita ingin melihat penggunaan bahasa Melayu yang seragam, berhemah dan bermartabat, bukannya bahasa rojak. Bahasa Melayu   
perlu diperkasakan selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi. Pemblog yang begitu dekat dengan khalayak bertanggungjawab dalam menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu yang baik. Peluang dan ruang yang ada sebagai pemblog mestilah kita gunakan untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dan bukan mengambilnya sebagai perkara yang mudah dan remeh. 
Menyedari hakikat ini, bermula pada waktu sekarang dan masa-masa yang akan datang perlulah kita cuba untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu. Selalulah menulis tetapi berhati-hati dan silalah merujuk pada bahan bacaan yang boleh meningkatkan kemahiran bahasa dan juga mutu penulisan.     

Tiada ulasan: