Isnin, Januari 02, 2012

HATI YANG BAIK.

Hari-hari penuh ceria bersama anak-anak dan suami terus berlalu. Ia jalan begitu pantas. Pejam celik sekarang kita sudah berada di tahun 2012. Masa cuti sudah ke penghujung dan anak-anak akan pulang ke asrama. Di akhir cuti untuk tahun 2011 dan menyambut 2012 dapat dan berpeluang membawa anak-anak pulang ke kampung Sungai Rokam Ipoh, Perak.

Berjumpa dengan atok dan opah mereka. Anak-anak cukup gembira berjumpa dengan atok, opah dan saudara mara. Riuh rendah dan gamat dengan senda gurau bila dapat berjumpa dengan adik beradik yang lain. Huh! Terubat rindu sekali sekala bila berkumpul memang seronok.

Kini semuanya menjadi kenangan indah. Hari-hari sudah seperti biasa. Anak-anak ke asrama. Suami ke pejabat dan saya tetap di rumah. Rumahlah pejabat saya. Saya bebas untuk melakukan rutin kehidupan. Tetapi menulis juga satu kerja yang berat. Bukan sekadar suka menulis, tetapi dengan menulis ia dapat mendidik diri sendiri. Itu yang utama. Biarlah kita menulis dengan hati yang jujur dan tidak hipokrit atau berpura-pura. Ingatlah setiap perbuatan kita akan ditanya oleh Allah.

Justeru berhati-hatilah dalam mendidik hati, agar hati yang bersih dapat mengajak menusia kepada kebaikan. Hati yang baik akan mengajak manusia menjadi baik. Iaitu mencari jalan keredaan dan kasih sayang Tuhan.

"Di dalam diri manusia ini ada seketul daging. Manakala daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota lahir manusia itu. Jika seketul daging itu rosak maka seluruh anggota lahir manusia ini akan rosak. Itulah hati."


Salam kasih sayang,
Zuhriah Mohamad Juoi.

Tiada ulasan: