MEMBENTUK HALA TUJU REMAJA SOLEHAH.Berkesempatan berkongsi sedikit ilmu bersama anak-anak yang tinggal di Rumah Kasih Harmoni, Kg Paya Jaras Dalam. Tajuk MEMBENTUK HALA TUJU REMAJA SOLEHAH telah menjadi pilihan saya pada hari itu. Antara isi yang penting ialah;
1. Iqra - Bacalah!
Budaya membaca perlu diterapkan di kalangan remaja. Membaca apa sahaja bahan yang baik, memberi manfaat dan yang boleh meningkat ilmu pengetahuan. Pastinya sebagai remaja yang akan meningkat ke alam dewasa, perlu untuk membaca al-Quran secara tartil. Sebaik mungkin membaca juga al-Quran terjemahan. Paling tidak memahami apa makna al-Fatihah yang selalu kita ulang-ulang membacanya.
Fokus juga untuk kita mengembalikan anak-anak remaja ini ke arah membaca sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. Walaupun seorang anak yatim piatu, Rasulullah bila dewasanya menjadi peminpin yang agung bila dewasanya. Berjaya menakluk 3/4 dunia di bawah kuasa Islam ketika itu. Banyak mengetahui sirah Rasulullah s.a.w akan menjadikan remaja yang berjiwa besar dan semangat untuk mencontohi perjuangan Rasulullah s.a.w.
2. Tingkatkan kualiti solat.
Penekanan juga perlu untuk meningkatkan kualiti solat. Faham dengan apa bacaan yang kita baca. Bukan sekadar menghafal bacaan solat, tapi faham makna yang kita baca. Bila faham apa yang dibaca, akan datang khusyuk dalam sembahyang. Sebelum bersolat, kita akan mendengar suara azan. Allah memanggil umatnya termasuk remaja yang telah baligh untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Marilah sama-sama kita menyahut seruan azan dan menunaikan solat dengan penuh sedar dan faham apa yang kita lafazkan ketika solat.
3. Miliki hati yang tenang.
Semua manusia akan berhadapan dengan masalah kehidupan, termasuklah para remaja. Bila kita banyak mengingati Allah dalam kehidupan, kita akan dapat mengawal segala masalah yang datang. Kita ada Allah untuk mengadu dan meminta pertolongan. Jiwa kita tidak kosong, sebab hanya dengan mengingati Allah hati akan tenang. Tapi caranya kena betul. Misalnya sebelum menunaikan solat kita kena ambil wuduk dulu. Membersihkan anggota lahir dan juga menyediakan hati mengingati Allah
4. Akhlak yang terpuji.
Hasil dari membaca bahan yang bermutu, meningkatkan kualiti solat, memiliki hati yang tenang akan terhasillah akhlak yang terpuji.
"Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w ada contoh ikutan yang baik." Tidak kira siapa sahaja, semuanya perlu kembali untuk mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w agar berjaya di dunia dan juga di akhirat.
Itulah yang dapat saya kongsikan bersama anak-anak remaja tersebut. Sebenarnya untuk diri saya juga. Moga ia dapat memberi kebaikan demi masa depan yang cemerlang dan gemilang.