Ahad, Jun 05, 2011

WARKAH SANTAI - WARKAH ISTIMEWA UNTUK PEMBACA BUKU TERIMA KASIH TUHAN ATAS CINTA INI.

Kepada,
Sesiapa yang berkenaan...
(Mereka yang telah membaca buku TERIMA KASIH TUHAN ATAS CINTA INI).

Salam ceria dan sihat selalu,
Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang telah membaca buku saya. Insya Allah pembaca sekelian tidak melakukan pembaziran. Sama ada di segi wang ataupun masa. Malahan telah memilih suatu bacaan yang dapat memberi manfaat untuk kebaikan kita bersama.

Buku yang saya tulis itu, benar-benar datang dari pengalaman dan bukan sesuatu yang diawang-awang atau di alam khayalan. Saya rasakan itu lebih jujur dan mendekatkan jiwa seorang penulis dengan pembaca.

Saya merasakan ianya perlu diketengahkan, agar kita dapat menjalani kehidupan dengan kematangan dan berani menghadapi kenyataan hidup. Hidup tidak semuanya menjanjikan yang indah-indah sahaja. Ianya dipenuhi dengan pelbagai rasa, cuaca yang selalu berubah-ubah dan situasi yang tidak menentu. Manis, suka, duka, mendung, hujan dan sebagainya. Namun di situlah, akan lahirnya rasa kehambaan dalam diri seseorang. Menghadapi apa sahaja keadaannya, Allah tetap menjadi keutamaan.

Jika ini dapat kita semaikan dalam diri, secara tidak disedari kita akan mengatur hidup dengan jiwa yang tenang. Kita dapat merasakan dalam susah, ada senang. Dalam resah ada penawarnya. Iaitu ingat kepada Allah dan taat pada perintah-Nya. Itulah senjata ampuh untuk melayari bahtera kehidupan.

Sesungguhnya cinta itu indah. Ianya membawa kepada bahagia dan damai di dalam jiwa.

Moga jumpa lagi! Insya Allah.
Zuhriah Mohamad Juoi.

Tiada ulasan: