Tercari-cari arah untuk menuju kejayaan dalam hidup. Semua manusia pasti inginkan kejayaan dalam hidup. Misalnya rumah besar, kereta besar, jawatan besar, menjadi orang terkenal, dan apa sahaja yang dicita-citakan.
Ketika sibuk meneruskan kehidupan di dunia ini, terfikir pula apa nilaian manusia di sisi Allah? Jawapannya sudah pastilah mereka yang bertaqwa. Mereka yang taat dan patuh segala perintah Allah. Dan mereka yang meninggalkan apa sahaja yang menjadi kemurkaan Allah.
Manusia sentiasa berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia. Tetapi bagaimana dengan persiapan kita untuk menuju alam akhirat sana. Di samping kita sibuk mengejar dan menguruskan hal-hal dunia, jangan pula kita lupakan hal-hal akhirat. Dunia dan akhirat saling berkait rapat.
Apa sahaja yang kita lakukan di dunia ini, pasti akan mendapat balasan di akhirat. Sama ada amalan yang baik atau sebaliknya, pasti akan dihisab. Malaikat yang ditugaskan, iatu Rakib dan Atid tidak pernah leka untuk mencatat amal baik atau jahat.
Ya, kembali kita untuk menjadi manusia yang bertaqwa. Iaitu manusia yang sentiasa ingat kepada Allah, dan taat kepada segala perintah-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan