Ahad, November 14, 2010

MELAKUKAN KEBAIKAN DI MANA SAHAJA.

Pagi tadi tergerak di hati untuk membeli sarapan pagi di Taman Dr Ismail. Memberhentikan kereta depan kedai 7 Eleven. Teringin sangat untuk mencari kuih (macam lempeng tapi ianya sedikit gebu dan kecil), saya tidak tahu apa namanya. Tapi kuih tu hanya dijual di sebelah kedai 7 Eleven. Tempat lain tidak ada.

Setelah keluar dari kereta, saya menuju ke gerai tersebut. Tiba-tiba terpandang dompet berwarna hitam. Saya ambil dan melihat ke dalamnya. Wah! Ada kad pengenalan, lesen kereta, sedikit wang dan juga kad bank. Saya tergesa-gesa membeli kuih yang dihajati. Selepasnya menuju ke balai polis TTDI untuk menghantar dompet tersebut. Balai polis adalah tempat selamat untuk tuan punya kad pengenalan mendapatkan balik miliknya.

Setelah dompet tersebut diserahkan kepada seorang pegawai polis di situ, hati saya merasa sangat lega dan lapang sekali. Sekurang-kurangnya di pagi Ahad itu, saya telah melakukan satu kebaikan. Saya boleh mengambil wang yang terdapat di dalam dompet tersebut, tapi apa gunanya. Menghadapi situasi begini, saya meletakkan diri saya sebagaimana orang yang kehilangan itu. Jika saya tidak memulangkannya, pasti dia berada di dalam kesusahan.

Moga hati ini terpelihara untuk tidak melakukan sesuatu yang mendatangkan kesusahan kepada orang lain. Ingatlah wahai diriku. "Sebaik-baik manusia, ialah mereka yang selalu melakukan kebaikan kepada manusia yang lain. " Sematkan penuh padu di hatimu!

Tiada ulasan: