Isnin, Oktober 26, 2009

SYURGA RUMAHTANGGA.


"Syurga Rumahtangga." Itulah tajuk buku saya yang pertama diterbitkan oleh Karya Bestari, Grupbuku Karangkraf. Di sinilah saya mula berjinak-jinak dalam dunia penulisan buku dan Syurga Rumahtangga telah diterbitkan pada tahun 2000.   

Idea untuk menulis buku ini timbul bila melihat segelintir masyarakat yang mendirikan rumahtangga tetapi tidak kekal lama. Pelbagai masalah yang timbul dan menjadi isu hangat, akhirnya jalan penyelesaian yang diambil ialah berpisah.

Pada ketika itu editor buku tersebut ialah H.M Tuah Iskandar Al-Haj. Sedikit sebanyak saya diberitahu untuk menulis dengan lebih baik. Caranya dengan menimbulkan pelbagai soalan dalam buku itu. Bila ada soalan pasti ada jawapan yang perlu dijawab dan secara tidak langsung ia dapat merungkai permasalahan yang timbul dalam isu-isu rumahtangga.    


Berkahwin adalah sunnah Rasulullah s.a.w dan pastinya kita disarankan untuk membentuk syurga rumahtangga melalui perkahwinan yang dibina, syaratnya mestilah kita mengikut apa yang telah disarankan agama dalam hal ini.   

Hadis Rasulullah s.a.w:
"Pernikahan itu sunnahku iaitu jalan agamaku, maka barangsiapa kasih dia akan agamaku, maka hendaklah dia menjalani sunnahku itu." (Hadis riwayat Baihaqi)

Setiap manusia pasti ada kelemahan dan kelebihan. Alangkah indahnya hidup ini, jika setiap suami isteri boleh menerima kelebihan dan kekurangan pasangan masing-masing. Sesungguhnya hubungan suami isteri adalah untuk lengkap melengkapi antara satu sama lain. Jika itu yang mampu dilakukan tidak hairanlah akan terbentuknya Syurga Rumahtangga.

Alhamdulillah hingga ke hari ini, buku Syurga Rumahtangga masih dicari, menjadi pilihan serta rujukan kepada pembaca yang berminat dan yang ingin menambah ilmu pengetahuan.